Selasa, 17 November 2009

Penyakit Dengki


Bahaya Penyakit Dengki

Hasad dan dengki adalah penyakit hati sangat berbahaya. Ia menimpa tidak kira usia dan pangkat. Makin kotor hati, makin parah, kesan dan tindakan yang lahir akibat penangan dengki.
Sudah banyak jiwa yang menderita, kasih sayang terlerai, rumah tangga terburai, nyawa melayang malah berlakunya peperangan dek kerana racun si hasad dan dengki. Iblis yang berseronok di syurga pun terlempar keluar gara-gara dengki.
Antara penyebab lahirnya hasad ialah:



  1. Perseteruan dan kebencian.



  2. Bangga dengan kedudukan dan rasa mulia.




  3. Angkuh.



  4. Rasa takjub dengan kebolehan.




  5. Takut hilang kedudukan.



  6. Gila nama dan glamour




  7. Busuk hati.

Perbincangan kali ini tertumpu kepada persoalanan cara merawat penyakit global ini. Cara rawatannya terbahagi kepada dua iaitu secara ilmiah dan amaliah (amali).
Cara ilmiah ialah melalui kesedaran betapa bahayanya penyakit dengki ini, pada dunia lebih-lebih lagi pada masa depan beragama dan hari pembalasan, iaitu hari akhirat.
Letaklah dalam minda, bahawa orang yang hasad sebenarnya dia sedang melawan ketentuan Allah. Dia membantah keadilan Allah yang maha Adil.
Orang dengki sedang melakukan jenayah iman dan merosakkan kemurnian akidah. Kesedaran juga perlu ditanam dalam hati, dengan berdengki kita meletakkan nama kita sebaris dalam kelompok dan menjadi ‘geng’ iblis dan syaitan . kotornya!
Ingatkan diri sifat tercela ini akan ‘menghaguskan’ kebaikan yang ditimbun selama ini. Tidak cukup dengan itu jiwa sentiasa tertekan, terseksa dan bersedih. Maklumlah, sentiasa berdendam saja.
Beritahu pada minda kita, dengan berdengki umur kita tidak bertambah dan umur orang yang kita dengki itu tidak berkurang pun.
Dengan hasad juga nikmat orang yang kita hasad itu tidak berkurang pun. Sebab yang memberi nikmat itu ialah Allah yang Maha Hebat.
Seperkara lagi yang perlu diketahui si pendengki supaya tidak berdengki ialah yang menderita itu si pendengki sendiri.
Malah, orang yang dihasadlkan itu yang teraniaya dan orang yang teraniaya akan dibantu Allah. Dosanya akan diampunkan Allah kerana kesabarannya menghadapi kedengkian, sehingga akan menjadi penebus dosa.
Rawatan ilmiah pula ialah melalui cara banyak berzikir dengan hasrat untuk merawat hati yang kotor itu.
Sekiranya hasad dengki itu membuatkan kita mencela, kita mesti buat yang sebaliknya iaitu dengan memuji orang yang kita dengki itu.
Jika dengan berhasad membuatkan kita sombong dengannya kita mesti paksa diri supaya merendah diri. Kalau dengan kita dengki membuat kita menahan pemberian,kita mesti paksa diri memberi apa-apa yang kita sayang.
Memang rawatan begini amat pahit, maklumlah hendak memaksah diri sendiri memang payah,malah ubat biasanya pahit. Banyakkanlah berdoa serta jangan lupa berkawan dengan orang yang soleh, iaitu orang baik-baik. selamat mencuba!


harian metro : Dr. Zawawi Yusoh

Pengikut